'Nak sangat hisap ganja kan? Amek ni!' - Ibu lumur serbuk cili pada mata anaknya



Seorang wanita bertindak melumur serbuk cili pada anaknya sebagai hukuman kerana ketagih dadah jenis ganja. 


Dalam kejadian yang berlaku di bandar Telangana, India, wanita berkenaan terdahulu mengikat anak lelakinya berusia 15 tahun pada sebatang tiang sebelum dilumur dengan serbuk cilik di bahagian mata. 


Tindakan wanita itu membuatkan anaknya menjerit kesakitan dan rasa terbakar di bahagian mata. Suara jeritan mangsa mengundang kehadiran beberapa jiran mereka yang meminta wanita itu memberi air kepada anaknya.


Difahamkan, video tersebut yang dirakam di Kodad, daerah Suryapet turut viral di media sosial sejak Isnin, 4 April 2022. Si ibu mengambil tindakan drastik itu kerana bimbang anaknya akan menjadi penagih dadah sekiranya tidak dibendung lebih awal.


Dalam menahan kesakitan tidak terkata itu, remaja terbabit merayu agar ibunya menanggalkan ikatan tersebut. Tetapi rayuannya tidak diendahkan oleh ibunya selagi dia tidak berjanji mahu meninggalkan tabiat menghisap ganja. 



Perbuatan melumur serbuk cili pada mata anak sebagai hukuman bukanlah perkara baru di Telangana. Video kejadian itu turut mencetuskan perdebatan netizen di media sosial yang mempersoalkan apakah kaedah kuno itu berkesan memberi pengajaran kepada golongan remaja terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah. Namun, ada yang mendakwa, kaedah itu sebenarnya tidak berkesan. 


Kejadian itu berlaku ketika isu ketagih dadah di kalangan remaja semakin meningkat dan pihak berkuasa sedang berusaha mencari jalan untuk menangani masalah itu. 


Dalam satu kejadian di Hyderabad sebelum ini, seorang graduan kejuruteraan dilaporkan meninggal dunia akibat terlebih dos dadah. Siasatan awal mangsa mendapati, mangsa merupakan penagih dadah dan mengambil bahan terlarang itu ketika berkunjung ke Goa bersama beberapa rakannya.


Hal ini menimbulkan kebimbangan pada pihak polis kerana kes ketagihan dadah yang melibatkan golongan belia naik mendadak, selain terlibat dengan jenayah lain dan aktiviti anti-sosial. 


Justeru polis merayu kepada golongan belia tidak terjebak dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. Golongan ibu bapa juga diminta memainkan peranan masing-masing dan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah di sekeliling.


Sumber: India.com



from The Reporter https://ift.tt/H2Th3dE
via IFTTT