Penumpang kongsi detik cemas pesawat MH2664 ke Tawau tiba-tiba hilang ketinggian di aras 25,000 kaki
Foto Hiasan |
Tular di media sosial perkongsian salah seorang penumpang mendakwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2664 secara tiba-tiba hilang ketinggian dari 31,000 kaki ke 24,000 kaki ketika dalam penerbangan ke Tawau, Sabah.
Lapor Sabah Media, penumpang berkenaan yang dikenali sebagai Halimah Nasoha berkata, pesawat MH2664 yang dinaikinya itu dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau, Sabah pada jam 2.30 petang, Ahad, 3 April 2022.
Bagaimanapun selepas 30 minit penerbangan, Halimah mendakwa pesawat MH2664 hilang ketinggian dari 31,000 kaki ke 24,000 kaki.
Pada masa kejadian, Halimah juga tidak menggunakan tali pinggang keledar berikutan isyarat penggunaan alat keselamatan itu dipadamkan, menyebabkan dia terasa seperti melambung.
Bagaimanapun, kejadian itu katanya hanya berlaku dalam beberapa saat sahaja. Namun, ramai penumpang yang menjerit dan menangis ketakutan selepas mengalami kejadian yang tidak dijangka itu.
"Sekitar jam 3.03 petang, pesawat tiba-tiba menurun laju gila dengan kelajuan anggaran 31,000 kaki ke 24,000 kaki (berdasarkan semakan di aplikasi Flight Radar 24) hanya dalam beberapa saat.
Foto Flight Radar 24 |
"Saya melambung sebab tak pakai seatbelt. Dalam 10 minit pesawat dalam keadaan tidak stabil dan selepas pesawat naik balik, pesawat 'jatuh' lagi tetapi tidak seteruk insiden yang pertama.
"Penumpang menjerit-jerit, ada yang menangis semua. Ye lah, memang dah rasa akan mati dah," katanya.
Jelas Halimah, pesawat MH2664 kemudian berpatah balik ke KLIA dan para penumpang diarahkan menaiki pesawat lain dandia tiba di Tawau sekitar jam 9 malam.
Foto Flight Radar 24 |
Halimah turut memanjatkan rasa bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada juruterbang pesawat MH2664 kerana berjaya mengawal keadaan dan membawa para penumpang kembali ke KLIA dalam keadaan selamat.
"Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Terima kasih juga kepada pilot semalam yang dengan jayanya dapat mengawal pesawat tersebut dan menyelamatkan kami," katanya.
Sementara itu menurut penjelasan dari Aviatorian, insiden pesawat MH2664 itu yang dikatakan hilang ketinggian itu kebiasaannya disebabkan air pocket atau downdraft. Situasi tersebut katanya, boleh menyebabkan kerosakan pada control surface dan mendorong kapten pesawat MH2664 kembali semula ke KLIA.
"Berdasarkan rekod pada aplikasi Flight Radar 24, kru cuba untuk sambung semula penerbangan ke Tawau (climbed to 30,000'), tetapi mungkin ada yang tidak kena dengan sistem pesawat. Keputusan yang betul untuk berpatah balik ke KLIA daripada mengambil risiko untuk menyambung penerbangan yang berbaki dua jam," katanya.
Sumber: Sabah Media, Twitter Aviatorian
from The Reporter https://ift.tt/OAlVT7e
via IFTTT