Ridwan Tee sekeluarga terpaksa menumpang di rumah kebun tanpa elektrik & air, nak minum terpaksa beli air atau tadah air hujan
Foto Utusan Online |
Akibat kesempitan hidup, lima beranak terpaksa hidup menumpang di sebuah rumah tanpa kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air di Kampung Kilang Makau, Pokok Asam, sejak empat tahun lalu.
Mualaf, Muhammad Ridwan Tee Abdullah, 45, berkata, dia dan keluarga terpaksa menumpang berteduh di rumah milik pekebun sayur itu kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.
Kemiskinan yang dialaminya juga menyebabkan dia tidak mampu menanggung kos pemasangan bekalan elektrik dan air. Hasil pendapatannya yang bekerja sebagai tukang cat di bengkel kereta dan sekali-sekala menjual barangan terbuang serta membersihkan kawasan jirat Cina hanya sekadar mampu menyara keluarga sahaja.
Muhammad Ridwan tinggal bersama dengan isteri, Rahimah Abd Razak, 38, bersama tiga lagi anaknya (2 lelaki, 1 perempuan) yang berusia dari lima hingga 10 tahun.
Di sebelah malam, Muhammad Ridwan mengguna lampu solar yang dipasang sendiri dan bekalan air pula diambil dari sebuah perigi berhampiran kawasan paya. Tetapi air perigi itu berbau dan disebabkan tiada pilihan lain, mereka menggunakan air tersebut untuk mandi dan membasuh. Untuk diminum, mereka terpaksa membeli air atau menadah air hujan.
Sungguhpun begitu, Muhammad Ridwan masih menghantar dua anaknya bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Tai Tong. Manakala anak bongsu tidak dihantar belajar di tadika kerana masalah kewangan.
Difahamkan, mualaf berkenaan pernah memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah, tetapi statusnya sehingga kini masih tidak diketahui.
Walaupun begitu, masih ada orang atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam yang datang menghulur bantuan untuk keluarganya meneruskan kehidupan.
Bagi mereka yang mahu membantu boleh menghubungi Muhammad Ridwan di talian 019-7369397 untuk menghulurkan sumbangan.
Sumber: Utusan Online
from The Reporter https://ift.tt/A3CYrOe
via IFTTT