'Sungai itu banyak buaya' - JKR Miri kata faktor keselamatan antara punca kos projek bina jeti RM50,000



Susulan projek pembinaan jeti kayu bernilai RM50,000 di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri dipertikaikan netizen, jabatan berkenaan tampil memberi penjelasannya. 


JKR Miri berkata, kos RM50,000 tersebut antaranya termasuk kos logistik, selain faktor keselamatan dan keadaan jalan ke kawasan tersebut. 


Kayu yang digunakan dalam projek itu pula merupakan kayu belian yang bernilai RM9,000 semeter, lebih rendah dari kadar harga pasangan. 


Dengan bajet tersebut, JKR Miri yang melantik Syarikat Bukit Balat untuk membina jeti sepanjang 15 meter itu berjaya disiap lebih awal dari tarikh yang dijadualkan.


Difahamkan, JKR Miri terdahulu mencadangkan membina jambatan keluli untuk keselesaan penduduk kampung. Namun, cadangan itu terpaksa ditolak kerana kos projek terlalu tinggi. 


Ketua Kampung Mutap, Sediah Abdullah sendiri yang memilih jeti diperbuat daripada kayu belian sebagai ganti dan akan memohon peruntukan tambahan daripada wakil rakyat di kawasan itu untuk pembangunan fasa kedua jeti tersebut. 


Sediah juga memaklumkan, sungai itu dipenuhi dengan buaya dan kontraktor yang dilantik (Bukit Balat Company) haruslah mengambil langkah berjaga-jaga ketika melaksanakan pembinaan jeti itu. Keadaan jalan ke Kampung Mutap pula adalah jalan ladang yang amat membebankan.


JKR Miri berkata, cabut undi bagi projek tersebut dibuat pada 30 November 2021 di Pejabat Residen Miri dan Syarikat Bukit Balat dipilih dan ditawarkan kontrak tersebut di mana projek mula dilaksanakan pada 7 Mac hingga 6 Jun 2022. Bagaimanapun, syarikat berkenaan berjaya menyiapkan projek itu pada 6 April.


Selepas melakukan pemeriksaan terakhir dan berpuas hati dengan hasil pembinaan jeti itu, JKR Miri kemudian menyerahkan projek jeti siap itu kepada ketua kampung dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini. 


Sumber: Berita Harian



from The Reporter https://ift.tt/6GkEyzY
via IFTTT