Budak perempuan 3 tahun hilang semasa jamuan hari raya keluarganya



Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun empat bulan didakwa hilang semasa berada di majlis hari raya anjuran keluarganya di rumah rakit di Bukit Rangin di sini, malam Jumaat.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, Siti Nur Athhiyya Soffea Mohamad Sukri dilaporkan kali terakhir dilihat bapanya pada jam 11.15 malam.


Siti Nur Athhiyya Soffea yang merupakan anak tunggal memakai baju kurung berwarna merah di majlis itu.


"Bapanya mendakwa telah bertanya mengenai anaknya kepada semua tetamu yang hadir, namun tiada yang mengaku melihat kanak-kanak itu menyebabkan bapanya membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.


Wan Mohd Zahari berkata, usaha mencari Siti Nur Athhiyya Soffea giat dijalankan dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dengan siasatan dijalankan mengikut semua kemungkinan.


Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sungai dan sekitar tebing berhampiran rumah rakit itu pada jam 3.23 pagi Sabtu.


SAR diaktifkan dengan mengambil kira kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh dari dua rumah rakit kepunyaan bapanya, yang mempunyai jambatan kayu di bahagian tengah untuk menghubungkan kedua-dua rumah tersebut.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/v9guHcP
via IFTTT