Kerajaan pertimbang cadangan ambil warga Indonesia, Bangladesh, Filipina jadi 'Pak Guard'



Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat dengan Filipina, Indonesia dan Bangladesh berhubung cadangan membawa masuk tenaga kerja asing sektor keselamatan dari negara sumber baharu.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata keputusan di peringkat dasar telah dipersetujui untuk membawa masuk tenaga kerja asing dari negara luar selain Nepal.


“Kita (KDN) sudah benarkan kemasukan tenaga kerja asing (sektor keselamatan) dari negara lain (negara sumber) selain Nepal.


“Cuma nak bawa masuk perlu tepati kriteria (yang ditetapkan) iaitu pekerja asing itu perlu ada pengalaman kerja dalam sektor keselamatan ketika di negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata permohonan bagi mendapatkan tenaga kerja itu boleh dibuat selepas perbincangan tersebut diadakan, bagaimanapun kemasukan adalah bergantung kepada keputusan dari negara sumber baharu terbabit.


Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan telah mempertimbangkan cadangan membawa masuk pekerja asing sektor keselamatan dari negara sumber baharu bagi mengimbangi kekurangan tenaga kerja warga Nepal dan tempatan untuk bekerja di sektor itu.


Sementara itu, Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata pihaknya telah melakukan 63 tangkapan menerusi Op Pagar Laut bermula 19 April hingga 17 Mei lepas, melibatkan pelbagai kesalahan jenayah maritim antaranya pendatang asing tanpa izin, penyeludupan kontraban dan barang kawalan serta pencerobohan bot nelayan asing. Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan kira-kira RM23 juta.


Op Pagar Laut yang memasuki tahun ketujuh diadakan setiap tahun menjelang sambutan Aidilfitri sebagai operasi khas yang memfokuskan kepada usaha mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan sepanjang musim perayaan.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/IPGjMbz
via IFTTT