'Nak suruh Grab pecat saya? Pecat je la, tak kisah' - Pemandu GrabCar didakwa buat gangguan seksual terhadap penumpang wanita

Foto Suspek Gangguan Seksual | Michi


Hasrat menggunakan perkhidmatan e-hailing ke destinasi dengan tenang tanpa gangguan tidak kesampaian apabila penumpang wanita ini diganggu secara seksual oleh pemandu Grab yang tidak bertanggungjawab. 


Mangsa yang hanya dikenali sebagai Michi berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu dan pemandu bernama Leu menegur cara pemakaiannya. Michi kemudian mengatakan dia berasa kurang selesa dengan tindakannya membuatkan Leu terus memberhentikan kenderaan dan enggan meneruskan pemanduan.


Melihat mangsa enggan keluar dari kenderaan, Leu memandu secara melulu. Bimbang akan keselamatan diri, Michi segera membuka pintu di tengah jalan untuk menghalangnya dari meneruskan pemanduan dan keluar dari kenderaan itu. 


"Ketika saya keluar dari kenderaan itu saya menjerit 'Saya akan pastikan awak dipecat Grab'. Dia membalas, 'Pecat sajalah, saya tak kisah, saya pemandu teksi'.




"Saya kemudian berjalan ke stesen minyak berdekatan dan mendapatkan GrabCar lain. Saya bernasib baik kerana kejadian itu berlaku pada siang hari. 


"Saya juga telah menghubungi pihak Grab. Mereka mendengar aduan saya dan mendapatkan segala maklumat serta memohon maaf di atas kejadian yang berlaku. Grab juga memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan, tetapi menyerahkan kepada saya sama ada mahu membuat laporan polis," katanya. 


Difahamkan, mangsa akan membuat laporan polis pada Isnin untuk tindakan selanjutnya. Michi juga berharap lesen memandu suspek turut digantung agar tiada wanita yang akan menjadi mangsanya di kemudian hari. 


Sementara itu, Grab Malaysia memohon maaf di atas kejadian yang menimpa mangsa dan memberi jaminan akan melakukan siasatan serta tindakan tegas. Maklumat mengenai pemandu terbabit akan dimajukan kepada pihak disiplin untuk tindakan selanjutnya. 



Sumber: Twitter Michi



from The Reporter https://ift.tt/pV3dZUa
via IFTTT