'Sebagai pengerusi BBC, Tajuddin mesti berjawatan' - Timb Menteri K-KOMM pertahan Tajuddin dilantik sebagai Duta

Foto Tajuddin, Zahidi | The Vibes, Malay Mail


Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, mempertahankan pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia. 


Ahli Masjlis Tertinggi UMNO itu berkata, pelantikan Tajuddin adalah wajar dengan mengambil kira kedudukan Tajuddin sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC). 


"Kita lantik siapa pun, akan ada kritikan dan pujian. Itu biasalah. Lagi pun lantikan ini cadangan Perdana Menteri dan dipersetujui Presiden Indonesia Joko Widodo. 


"Satu lagi, Tajuddin adalah pengerusi BBC, jadi sesuailah dia dilantik ke mana-mana jawatan. Untuk jalankan tugas sebagai pengerusi BBC, dia mesti berjawatan. Mana mungkin dia nak buat kerja (sebagai pengerusi) dengan soal peruntukan dan sebagainya," katanya. 


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zahidi berkata semua pihak bebas mengemukakan pandangan masing-masing mengenai pelantikan itu.


"Cumanya, kalau tak mahu lantik dia sebagai duta besar, mungkin kena lantik dia sebagai Timbalan Perdana Menteri atau menteri lah," selorohnya. 


"Lagi pelik apabila ada ahli biasa BBC yang memegang jawatan pengerusi di mana-mana entiti tetapi pengerusinya (BBC) tidak berjawatan. Nak lantik dia dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLC tak terima, nak lantik Timbalan Menteri pun orang tak terima. Jadi, nak lantik dia sebagai apa?" soalnya. 


Sementara itu, bekas diplomat yang sudah bersara dan enggan namanya didedahkan berkata, pelantikan Tajuddin bukan langkah yang baik kerana jawatan penting itu harus diisi oleh seseorang yang berpengalaman dan mempunyai latihan yang luas. 


"Saya berpendapat, (Tajuddin) kurang sesuai untuk memegang jawatan yang penting iaitu Duta Malaysia ke Indonesia. Lantikan ahli politik seperti Tajuddin biasanya bukan kerana merit mereka tetapi sebagai ganjaran. 


"Pendekatan seperti ini kurang baik kerana jawatan duta bukan toothless tiger, tapi sangat mencabar dan memerlukan latihan dan pengalaman yang luas," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini



from The Reporter https://ift.tt/TKVGm7O
via IFTTT