Adakah Amber Heard akan kembali ke Aquaman 2 selepas tewas dalam kes saman fitnah Johnny Depp?

Jason Momoa, Amber Heard, James Wan


Petisyen
yang mendesak agar pelakon Amber Heard digugurkan dalam filem Aquaman 2 and The Lost Kingdom setakat ini telah mendapat 4.5 juta tandatangan minggu ini. 


Dua hari selepas juri membuat keputusan yang memihak kepada Johnny Depp dalam perbicaraan fitnah pasangan itu, sasaran petisyen itu telah diubah kepada 6 juta tandatangan. 


Kini, status Heard dalam sekuel DC itu semakin menjadi tanda tanya. Ketika dalam perbicaraan itu Heard berkata, peranannya dalam filem Aquaman 2 telah dikurangkan dengan begitu ketara selepas pasukan peguam bekas suaminya menggelar dakwaan penderaannya sebagai palsu. 


"Saya benar-benar berjuang dengan keras untuk terus kekal dalam filem itu. Mereka tidak mahu memasukkan saya dalam filem itu," katanya ketika memberi keterangan di mahkamah. 


Menurut satu laporan Hollywood yang dibelum disahkan, Heard hanya muncul kurang daripada 10 minit dari suntingan terakhir filem Aquaman 2. 




Ketua filem DC, Walter Hamada juga dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah berhubung dakwaan Heard yang mengatakan kemunculannya dalam filem itu dikurangkan. Walter bagaimanapun menafikan dakwaan Heard kononnya perkara itu berlaku disebabkan oleh dakwaan pasukan peguam Depp. 

Menurut Walter, peranan Heard telah ditentukan dalam perkembangan awal skrip. Namun disebabkan kurangnya keserasian di antara Heard dan Jason Momoa menjadi punca utama kemunculan Heard dalam filem itu dikurangkan. 


Meskipun petisyen yang dibuat sebelum ini telah mencapai sasarannya, DC tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedudukan Heard sama ada dia akan terus kekal atau sebaliknya dalam filem Aquaman 2. 


Filem Aquaman 2 and The Lost Kingdom dijangka akan ditayangkan di pawagam seluruh dunia pada 2023, susulan pihak produksi mengalami masalah yang tidak dinyatakan. 


Pengarah filem tersebut, James Wan berkata, pihaknya mengambil masa tambahan untuk menyiapkan kesan-kesan khas. Masalah yang sama juga berlaku kepada filem DC lain seperti Black Adam dan DC League of Super-Pets.


Hanya seorang pelakon dari filem Aquaman telah bercakap secara terbuka mengenai Heard, iaitu Dolph Lundgren. 




"Dia hebat, saya bekerja dengannya di filem Aquaman pertama, kini yang kedua. Kami jalani penggambaran pada musim luruh lalu di London. Dia hebat, saya mempunyai pengalaman hebat dengannya. 

"Dia sangat baik, baik dengan kru, baik dengan semua orang, sangat merendah diri. Dia mempunyai bayi yang baru lahir bersama dengannya di set penggambaran dengan pengasuh yang agak comel," katanya. 


Petisyen online untuk mendesak Heard digugurkan dari filem Aquaman 2 mula mendapat perhatian pada November 2020 dan mencapai 1.5 juta tandatangan selepas Depp digugurkan dari francais Fantastic Beasts. 


Pada Julai 2021, penerbit Aquaman 2, Peter Safran, mengulas mengenai desakan untuk menggugurkan Heard daripada filem itu. Peter berkata, pihaknya tidak akan mengendahkan desakan itu dan akan terus mengekalkan penglibatan Heard. 


Sumber: The Independent



from The Reporter https://ift.tt/YspX0wq
via IFTTT