Gejala rasuah di Malaysia semakin berleluasa, ibu bapa perlu didik anak perangi rasuah dengan didikan agama



Saban hari kita disajikan dengan berita-berita tentang kes rasuah. Rasuah merupakan satu kegiatan yang sangat menyalahi undang-undang. Kegiatan haram ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang yang berkepentingan,malahan di peringkat bawahan juga terdapat kes yang dilaporkan. 


Apabila dikaburi dengan pangkat dan wang ringgit, manusia mudah lupa dimana dia berpijak. Namun begitu, apakah elemen yang perlu diterapkan agar kes rasuah ini tidak menjadi satu virus yang menular  dalam sesebuah negara.


Menurut pandangan Perunding Komunikasi Keluarga, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, agama menjadi benteng paling utuh untuk manusia menjauhi perkara yang haram dan ditegah oleh Allah S.W.T. Pendidikan agama ujarnya adalah elemen penting dalam mendidik anak untuk membenci rasuah.


"Apa sekalipun dalam dunia ini kita kena balik kepada agama. Permulaannya, ibu bapa wajib memperkenalkan anak kepada kalimah La Ilaha Illallah dan apabila anak ini nak buat apa pun dia akan ingat Allah.


"Sebab itu nak didik anak dan nak bercerita mengenai rasuah kita kena tahu tahap bagaimana anak itu memahami perkara tersebut. Jika sudah diajar tentang agama dan kalimah La Ilaha Illallah itu, masuklah unsur apa sekalipun, dia sudah ada pendirian.


"Sekarang ini pun, kalau anak-anak kita buka internet, banyak cerita atau filem mengenai rasuah. Apabila anak-anak tengok mereka sudah tahu bahawa perbuatan itu adalah haram hasil daripada didikan agama yang diajar oleh ibu bapa," katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk 'Rumah Punca Rasuah Bermula' pada Rabu.


Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa juga memainkan peranan dalam isu ini. Ibu bapa dikatakan tidak mahu membuat perubahan walaupun tahu kesilapan dalam mendidik anak.


"Dalam psikologi sebenarnya ibu bapa yang mengekalkan sikap negatif anak. Apa anak belajar terutama mengenai pelbagai unsur permulaan rasuah di rumah adalah daripada ibu bapa itu sendiri.


"Contohnya si bapa buat kesalahan, dia menyuruh anak diamkan daripada mak dan hasilnya bapa akan bagi duit, gula-gula atau aiskrim dan itu juga satu bentuk rasuah. Ramai ibu bapa yang sedar tetapi tidak mahu mengubahnya," katanya.


Menurutnya, contoh yang baik daripada ibu bapa menjadi elemen sangat penting untuk mendidik anak menjauhi perkara yang tidak elok termasuk menolak unsur rasuah.


"Sebenarnya antara tiga elemen penting untuk membina anak yang soleh dan solehah ini adalah pertama kena ada persekitaran rumah yang baik dan menggalakkan anak kepada kebaikan.


"Kedua mesti ada contoh teladan daripada ibu bapa dan ketiga mesti ada modul pendidikan," katanya.


Sumber: Sinar Harian



from The Reporter https://ift.tt/LtJXcoN
via IFTTT