Israel dilaporkan sedang giat melakukan kerja-kerja penggalian yang mencurigakan di sekitar Masjid al-Aqsa.
Menurut Majlis Wakaf Islam, Hal Ehwal dan Tanah Suci, kerja-kerja penggalian itu sedang dijalankan di kawasan bersebelahan dengan kawasan luar Masjid al-Aqsa oleh agensi antikuiti Israel dan kumpulan pendatang haram Yahudi.
"Sekumpulan pekerja dengan jentolak dan peralatan penggali bekerja dengan tergesa-gesa serta mencurigakan di kawasan itu. Tanah dialihkan dan lubang sedang dibuat di dinding ke arah selatan masjid," katanya.
Difahamkan, pihak majlis berkenaan telah berbulan-bulan memantau kerosakan batuan arkeologi di kawasan itu oleh pekerja yang diupah oleh kumpulan pendatang haram Yahudi yang dipercayai cuba mengubah ciri sejarah dan keagaam tapak bersejarah itu.
Justeru, pihak majlis berkenaan menggesa agar kerja-kerja penggalian itu di sekitar Masjid al-Aqsa dihentikan serta-merta kerana perkarangan masjid berkenaan di Kota Lama Baitulmaqdis adalah tapak yang dianggap suci oleh umat Islam dan Yahudi serta titik tumpuan ketegangan Israel-Palestin.
Ia juga dikenali sebagai Haram Al Sharif kepada umat Islam dan kawasan itu merangkumi Masjid al-Aqsa dan Kubah al-Sakhrah. Umat Islam percaya bahawa Nabi Muhammad SAW mengembara dari Makkah ke Baitulmaqdis dan naik ke langit dari tapak itu.
Namun orang Yahudi pula mengganggap kawasan itu sebagai tempat paling suci dalam agama mereka dan percaya ia pernah menjadi tapak dua kuil.
Menurut rekod, Israel telah menawan Baitulmaqdis Timur termasuk Kota Lama daripada Jordan semasa perang 1967 dan mengilhakkan kawasan itu. Israel kemudian mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, tetapi tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Sumber: Harian Metro, The National News
from The Reporter https://ift.tt/mtSLXRT
via IFTTT