Lima beranak termasuk bayi maut dalam kemalangan dengan treler



Lima beranak dilaporkan maut dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, petang samalam. 


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Rosli Ibrahim, 33, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7, Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6, dan seorang bayi yang belum dikenal pasti identitinya. 


Siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di jalan berkenaan yang membabitkan kereta Toyota dan sebuah treler pada jam 3.40 petang. 


Difahamkan, kereta yang dinaiki mangsa datang dari arah Muadzam Shah menghala ke Kuantan dan sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba kenderaan itu termasuk ke laluan treler yang berada di laluan Kuantan-Segamat. 


Pemandu treler cuba mengelak ke kiri, tetapi gagal disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan ia melanggar bahagian hadapan kereta mangsa, 


Akibat dari kemalangan itu, lima beranak berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu treler berusia 26 tahun tidak mengalami kecederaan. 


Seramai 13 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, Pekan dan Taman Tas dikerahkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa. 


Mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/MSH2EPA
via IFTTT