Penagih dadah tetak abang dengan golok, rebut hasil tanaman jagung



Seorang penagih dadah sanggup menetak abangnya sendiri menggunakan sebilah parang semata-mata mahu merebut hasil tanaman jagung yang diusahakan di atas tanah pusaka milik arwah bapa. 


Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Mohd Zahir Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat lalu di Kampung Tualang Keliki. 


Siasatan awal mendapati, sehari sebelum kejadian berlaku perselisihan faham di antara kakaknya berusia 30-an dengan suspek yang berusia 20-an berhubung hasil tanaman jagung sebelum bertindak menghunus sebilah pisau pada kakaknya. 


Mangsa yang melihat kejadian itu cuba meleraikan mereka berdua sebelum suspek bertindak mencederakan pahanya menggunakan pisau yang sama. 


Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama. 


Tetapi suspek masih tidak berpuas hati dengan abangnya, lalu datang ke rumah mangsa pada keesokan hari dengan membawa sebilah golok. Mangsa ditetak oleh suspek di bahagian lengan, kepala dan lutut menyebabkan mangsa sekali lagi terpaksa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. 


Susulan kejadian itu, polis telah menahan suspek di kawasan kebun jagung di belakang rumahnya pada jam 3.20 pagi Sabtu lalu. Keputusan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. 


Sumber: Kosmo



from The Reporter https://ift.tt/VCMgFE8
via IFTTT