Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup berkhalwat dengan pasangannya dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), malam tadi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, lelaki berusia 24 tahun itu mengaku datang dari Perak ke Kulim malam tadi atas urusan kerja.
Di kesempatan yang ada, dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan wanita berkenaan yang baru sahaja dikenalinya melalui aplikasi media sosial, di sebuah hotel kira-kira jam 10 malam.
Ketika serbuan dilakukan, lelaki terbabit ditemui bersembunyi di bawah katil untuk mengelakkan dirinya dicekup.
Pasangan itu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen yang membuktikan mereka adalah pasangan suami isteri atau mahram.
Mereka dibawa ke balai polis untuk membuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan bagi siasatan mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.
Bagi kesalahan berkhalwat, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Anwar Shariffudin berkata, pihaknya akan terus membanteras kegiatan maksiat dengan membuat pemantauan di kawasan hotel yang mnejadi tumpuan pasangan yang tidak mempunyai ikatan sah untuk menyewa di daerah Kulim.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/49ovapX
via IFTTT