'Saya panik, tapi anggota polis tenangkan saya & ajak minum kopi dulu' - YouTuber Malaysia terharu dapat layanan baik di Indonesia



Seorang YouTuber Malaysia, Rusdi Rusli, tidak menyangka ramai penduduk tempatan tampil menghulur bantuan kepadanya selepas video perkongsiannya yang menceritakan dia mengalami kehilangan kad ATM ketika bercuti di Jakarta, Indonesia, viral di media sosial negara itu. 


Difahamkan, Rusdi tiba di Jakarta pada 15 Julai 2022 dan melawat beberapa tempat tarikan pelancong seperti Masjid Istiqlal, Monas, hingga ke Kota Tua untuk membuat rakaman video bagi saluran YouTube-nya. 


Sepanjang tiga hari di situ, Rusdi juga sempat membelanja kanak-kanak tempatan yang ditemuinya.


Malang tak berbau, Rusdi kehilangan kad ATM dan baki wang dalam dompet pula hanya tinggal Rp25,000 atau RM7.40 sahaja. Insiden itu membuatnya panik seketika sebelum pulang ke hotel menggunakan baki wang yang ada. 


"Wang saya cuma tinggal 25,000 rupiah kerana wang tunai saya banyak habis untuk belanja kanak-kanak yang saya ditemui di Monas. Tapi, Alhamdulillah, dengan baki wang itu masih cukup untuk saya gunakan pulang ke hotel dengan menaiki Grab," katanya. 


Rusdi pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana panik dan ketakutan. Namun selepas menghubungi rakannya di Malaysia dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis, dia akhirnya akur. 


"Mahu tak mahu, saya perlu menguruskan kehilangan kad ATM saya. Tetapi untuk itu, saya perlu ada surat laporan kehilangan kad tersebut dari balai polis tempatan. 


"Saya betul-betul takut sebab saya warga asing di sini. Tetapi apabila sampai di balai, Alhamdulillah urusan berjalan dengan lancar. Malah, anggota yang bertugas memberi layanan yang baik. 


"Syukur Alhamdulillah saya mendapat layanan yang baik dan terima kasih kepada anggota polis berkenaan dan rakan-rakan yang membantu. Tak tahulah bagaimana keadaan saya jika insiden ini berlaku di negara lain," ujarnya. 


Ketika di balai, Rusdi ditenangkan oleh anggota polis yang memberi jaminan akan membantunya. 


"Anggota polisnya baik, dia kata kamu tenang saja tak perlu panik. Dia akan membantu saya buat surat laporan kehilangan barang dan saya diajak minum kopi dulu. 


"Ini di luar jangkaan saya, sedangkan tadi saya panik tetapi akhirnya perasaan itu hilang, terharu dan membuatkan saya menangis. 


"Rakan-rakan saya di Indonesia mahupun di Malaysia juga terkejut, bagaimana saya boleh mendapatkan surat laporan kehilangan barang dengan mudah kerana kebiasaannya proses ini adalah sukar bagi orang asing," katanya. 



Dalam masa yang sama, ada beberapa rakannya dari Bogor juga menawarkan bantuan. Kebaikan yang ditunjukkan itu membuatkan dia berasa terharu dan tidak menyangka dapat merasai sendiri kebaikan rakyat negara jiran yang selama ini dia hanya membuat video reaksi berkaitan negara tersebut. 


"Biasanya saya buat video reaksi tentang keramahan warga Indonesia melalui YouTube, sekarang saya benar-benar mengalaminya sendiri," katanya. 


Sumber: Go News



from The Reporter https://ift.tt/xsX9GTh
via IFTTT