'Dia diikat sepanjang perjalanan ke Tanah Merah' - Gadis Autisme diculik lelaki Rohingya masih trauma & sesekali kata tak nak hidup
Bagaimanapun, menurut bapa tiri dan ibu saudara mangsa berkata, mangsa kini masih mengalami trauma dan banyak berdiam diri serta termenung selepas kejadian itu. Malah, ada sesekali mengatakan dia enggan hidup.
"Cuma keadaannya ketika ini agak membimbangkan. Dia tidak banyak bercakap dan tidak mempunyai selera makan sehingga kami terpaksa memujuknya untuk makan demi kesihatan dirinya," kata Mohd. Azmi Abdullah.
Ibu saudara mangsa, Adawiah berkata, mangsa menceritakan bahawa dirinya telah dipelawa oleh suspek yang menyamar sebagai rakan sebaya. Suspek yang didakwa seorang guru al-Quran itu kemudian mengugut dan mengikatnya sebelum dibawa menaiki bas ekspress ke Kelantan.
"Suspek menyamar sebagai rakan sebaya kakak (mangsa) melalui satu kumpulan WhatsApp. Saya yakin suspek telah mengambil kesempatan terhadap mangsa memandangkan kekurangan yang dimilikinya.
"Dia diikat oleh suspek dan diugut untuk mendiamkan diri. Ketika ditanya mengapa tidak cuba untuk melarikan diri atau meminta pertolongan semasa dibawa ke Kelantan, kakak hanya memberitahu dia berasa takut.
"Ketika berada di satu premis di Tanah Merah, Kelantan, kakak terdengar suspek berbual dalam bahasa Rohingya. Dia beritahu tidak faham namun terdengar perkataan 'Kedah', menjadikan dia berasa lebih bimbang akan dibawa lari ke tempat lebih jauh.
"Disebabkan itu, kakak mengambil kesempatan ketika suspek sedang tidur dan menghantar satu mesej kepada nombor rakannya untuk memberitahu lokasi dia berada dan meminta memaklumkan kepada ahli keluarga untuk diselamatkan," katanya memetik laporan dari Kosmo Online.
Bertindak di atas maklumat itu, polis telah menyerbu lokasi dan berjaya menyelamatkan mangsa serta suspek Rohingya telah ditahan.
Difahamkan mangsa telah dihantar kembali ke pangkuan keluarganya di Bandar Putra, Kulai, Johor.
from The Reporter https://ift.tt/fh03VKP
via IFTTT