Penjawat awam digesa pertahankan Kerajaan Ismail dari fitnah pentadbirannya gagal

Foto Malaysia Now


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan pimpinannya adalah kerajaan bersama yang menekankan konsep Keluarga Malaysia dan penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan daripada pelbagai dakwaan dan fitnah kononnya pentadbirannya gagal.


Pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, Ismail Sabri berkata, penjawat awam wajar mempertahankan kerajaan dengan melihat beliau sebagai ketua kerajaan dan mereka bukannya mempertahankan parti politik.


Pada pertemuan itu, Ismail Sabri berkongsi kejayaan dikecapi kerajaan antaranya pencapaian cemerlang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merekodkan pertumbuhan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini, selain mewujudkan pekerjaan mencecah 400,000 serta prestasi nilai dagangan melepasi RM2 trilion.


"Apabila tuan puan mempertahankan, tuan puan tidak berpolitik. Jangan lihat saya sebagai pemimpin politik tetapi sebagai ketua kerajaan dan tuan puanlah anggota kerajaan.


"Kerajaan ini adalah kerajaan bersama. Sebab itu saya perkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebab saya nak kita bersama anggap kerajaan ini sebagai satu keluarga," katanya.


Perjumpaan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Bernama



from The Reporter https://ift.tt/6dMUXAN
via IFTTT