Pergelangan tangan hancur akibat tabung alat pemadam api meletup



Seorang pekerja bengkel servis pemadam api mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kanannya selepas tabung alat pemadam api meletup dalam kejadian di Jalan Bakawali 37, Taman Johor Jaya, semalam. 


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 petang lalu mengerahkan sepasukan anggotanya ke lokasi. 


Sebaik saja tiba, mereka mendapati pergelangan tangan kanan mangsa, Ezwan Othman, 42, hancur akibat letupan tabung alat pemadam api debu kering ketika kerja-kerja compress di dalam kawasan kilang. 


Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi mangsa mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam sebelum bomba tiba di lokasi. 


Sementara itu, Ezwan, dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan dan doktor memaklumkan pergelangan tangan kanannya mungkin akan dipotong kerana urat saraf rosak dan tidak dapat diselamatkan. 


Adik mangsa, Ernalisa Othman, 36, berkata, "Doktor maklumkan jika boleh diselamatkan, ia akan disambungkan semula. Tetapi jika teruk, ia akan dipotong. 


"Terdapat juga kecederaan di bahagian perut mungkin akibat terkena serpihan alat pemadam api yang meletup. Abang akan menjalani pembedahan malam ini," katanya. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/PMR0wif
via IFTTT