Beberapa hari lalu, selebriti Ifa Raziah atau nama sebenar, Saripah Raziah Mustapha, dikecam netizen kerana menari bergelek di sebuah majlis akikah bersama dengan beberapa selebriti lain.
Bagi netizen, perbuatan Ifa dan yang lain itu adalah tidak beradab kerana tidak menghormati majlis akikah yang sepatutnya disambut secara sederhana dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran.
Berkata kepada Kosmo, Ifa menjelaskan dia adalah penyanyi dangdut dan sememangnya tugas dia untuk menyanyi serta bergelek.
"Saya penyanyi dangdut, sebagai penyanyi apa yang saya kena buat ialah menyanyi, menghiburkan dan bergelek. Selama ini, gelek yang beri saya makan.
"Nak nyanyi dangdut kena berdiri tegak ke? Selama 27 tahun menjadi penyanyi, gelek saya itu yang beri saya makan. Kalau saya tak bergelek, siapa nak panggil saya buat persembahan?
"Orang bayar saya berpuluh-puluh ribu untuk menyanyi. Ini cara saya cari makan, bukannya saya berkelakuan tidak senonoh dan keterlaluan," katanya.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya tiga hari lalu, Ifa menjelaskan dia menerima bayaran RM20,000 jika ada pihak yang mahu dia bergelek.
"Kau bayarlah aku RM20,000 aku geleklah. Kau ingat aku bergelek tak ada hasil ke? Kau ingat aku gelek free ke? Semua gelek aku tu masuk duit tau. Bukan free tau, aku buat kerja dalam dunia ni tak ada free tau, semua berbayar," tegasnya.
Jelasnya lagi, dia bukan perempuan murahan dan ada harga selain menganggap dirinya masih bernilai di pasaran.
"Kalau masuk duit dalam akaun, clear, saya boleh gelek. Haa, dengan bayaran. Tiada benda free dalam dunia.
"Saya bukan perempuan murahan, saya ada maruah. Saya ada harga, nilai tu ada. Masih laku di pasaran, bukan tak laku. Lainlah kalau tak laku, kau bayar free pun orang tak nak tengok. Kau tak bayar pun orang tak nak tengok. Itu tak lakulah.
"Ini masih lagi ada permintaan, masih ada sambutan bermakna kita ada nilai di situ," ujarnya.
Bagaimanapun, kenyataan Saripah itu dibidas oleh Ustaz Ahmad Dusuki yang memberi peringatan bahawa pendapatan dari kerja sedemikian tidak akan dapat dibawa masuk ke kubur.
"Tak semua yang boleh bawa masuk duit itu menjadi keuntungan bagi kehidupan kita, yang bimbang jika yang masuk duit itu membawa kepada kecelakaan di masa depan kita.
"Setiap mukmin akan disoal di hadapan Allah nanti dari mana ia mendapatkan hartanya dan kemana ia membelanjakan hartanya di jalan Allah.
"Jika hartanya hanya mengenyangkan perutnya, tergolek-goleklah ia di akhirat nanti, menjawab di hadapan Allah, lebih-lebih lagi hartanya dari sumber menggelek-gelek punggungnya di khalayak ramai di dunia ini.
"Kau ingat gelek di khalayak itu dapat pahala ke? Bangganya kau," katanya.
from The Reporter https://ift.tt/bdM718A
via IFTTT