Ajak anak kerja part time, isteri ditumbuk & ditendang suami



Hanya kerana mengajak anak sulung bekerja di kedai haiwan peliharaan, seorang isteri dipukul suaminya dalam kejadian di Sungai Lalang, Bedong, jam 11 malam, Sabtu lalu. 


Menurut sumber, mangsa berusia 37 tahun dimarahi suaminya selepas mengetahui anak mereka mahu mengikut ibunya bekerja secara sambilan, lalu tercetus pertengkaran di antara pasangan berkenaan. 


Difahamkan, suspek berusia 39 tahun tidak membenarkan anak lelaki mereka berusia 17 tahun bekerja mengikut isterinya tanpa alasan. Suspek gagal mengawal kemarahan diri lalu bertindak menampar muka dan menendang pinggang mangsa. 


Kejadian itu berlaku di depan empat orang anak mereka. Mangsa yang sudah tidak tahan dilayan seperti itu akhirnya tampil membuat laporan polis menyebabkan suspek ditahan pada jam 5 petang kelmarin. 


Mangsa mendakwa, suaminya memang panas baran dan suka minum air ketum. Malah, lelaki itu selalu memanggil dirinya sebagai pelacur. 


Sebelum itu, mangsa pernah membuat dua laporan polis terhadap suspek yang memukulnya. Tetapi laporan itu ditarik balik kerana mangsa masih kasihan dan mahu memberi peluang kepada suaminya untuk berubah. 


Namun, peluang yang diberi itu langsung tidak dihargai dan suspek kembali mengulangi perangai yang sama iaitu mudah naik angin dan memukul isterinya tanpa sebab. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan pihaknya menerima laporan dari mangsa. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/d7qjRoK
via IFTTT