Influencer TikTok maut ditembak selepas terima panggilan misteri yang meminta dia keluar sekejap dari rumah

Karla Pardini


Seorang influencer TikTok popular di Mexico, maut ditembak selepas menerima panggilan telefon lewat malam yang individu yang tidak dikenali. 


Menurut Pendakwa Raya Sinaloa, Sara Bruna Quinone berkata, mangsa, Karla Pardini, 21, dikatakan menerima panggilan itu pada jam 10.30 malam pada 20 September lalu yang meminta dia keluar dari rumah seketika dan  tidak pernah kembali selepas itu.


"Menurut maklumat yang diberi oleh ibunya, Karla menerima panggilan lalu keluar dan ketika itulah dia diserang," katanya kepada Jam Press. 


Pejabat Peguam Negara Sinaloa mendedahkan, Karla telah diserang hendap dan ditembak beberapa kali berdasarkan pemeriksaan pada mayatnya yang ditemui di depan rumah keluarganya.




Saksi kejadian memaklumkan, dia ternampak sekumpulan individu bersenjata berkeliaran di kawasan itu sebelum serangan tersebut berlaku. Namun, identiti penyerang Karla masih belum diketahui dan polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini.


Siasatan sedang giat dijalankan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan wanita kerana mangsa terdedah dalam keadaan tidak berdaya ketika serangan itu berlaku. 


Difahamkan, Karla mempunyai lebih 90,000 pengikut di TikTok. Dia meraih popularitinya di laman itu kerana sering memuat naik video tarian dan berkongsi mengenai kehidupan sehariannya dengan peminat. 


Video terakhir yang juga dimuat naik pada hari kejadian telah ditonton lebih dari 1.5 juta pengguna dan ramai peminatnya yang membanjiri ruangan komen untuk mengucapkan takziah. 


Sumber: Daily Star



from The Reporter https://ift.tt/iL83MHv
via IFTTT