Lelaki terkejut disergah isteri ketika menodai anaknya dalam bilik, bongkar kes 2 anak perempuannya jadi mangsa rogol
Seorang lelaki tergamak melampias nafsu terhadap dua anak perempuannya sendiri (19 dan 15 tahun) seawal usia 12 tahun dengan alasan dirinya mempunyai 'saka'.
Sumber kepada Harian Metro berkata, perbuatan suspek berusia 50-an itu terbongkar pada 5 September lalu apabila isterinya pergi ke bilik tidur anak kedua dari tiga beradik di tingkat atas rumah mereka di Melaka Tengah.
Suspek terkejut disergah isterinya kemudian mengambil pisau untuk mengugut membunuh wanita terbabit, anak kedua dan bongsu berusia sembilan tahun, serta mencabut nyawanya sendiri jika melaporkan kejadian itu kepada polis.
Bagaimanapun, suri rumah itu mengambil kesempatan untuk menyelinap keluar bersama dua anaknya pada keesokan hari, lalu pergi ke rumah isteri pertama suspek, ketika lelaki itu (penyelia syarikat pemegang pelaburan) sedang sibuk membuat kerja di komputer.
Wanita terbabit menghubungi anak sulungnya pada jam 1 tengah hari dan memintanya pulang ke rumah ibu tirinya itu. Selepas menceritakan kejadian itu, dia bersama dua anaknya pergi ke rumah saudara di Selangor pada 7 September lalu dan membuat laporan polis di Balai Aeropolis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 September.
Siasatan awal polis mendapati, suspek merogol anak sulungnya seak 2015 hingga 2019, manakala anak keduanya pula sejak 2019 dan kali terakhir pada 5 September lalu.
Difahamkan, dua beradik berkenaan terpaksa mendiamkan diri kerana bimbang ibu mereka diceraikan dan hilang tempat bergantung.
"Remaja berusia 15 tahun itu dirogol lima hingga lapan kali setiap bulan sejak 2019 dan sering diugut oleh suspek untuk tidak mengaku mangsa sebagai anak selain akan merotan dan mengurungnya di rumah jika hal itu diceritakan kepada ibunya.
"Mangsa hanya mendiamkan diri sehingga November 2021 dan dia menceritakan kejadian itu apabila ditanya kakaknya sama ada pernah melakukan hubungan seks dengan bapa mereka. Masing-masing menceritakan mereka pernah melakukan seks secara paksa bersama suspek," katanya.
Anak sulung suspek memberitahu, dia dipaksa melayan nafsu bapanya sejak berusia 12 hingga 16 tahun dan sepanjang tempoh kejadian itu berlaku, suspek mengugut akan menceraikan, membunuh atau mencederakan ibunya jika membongkarkan kejadian itu.
Susulan itu, polis telah menahan suspek pada 9 September lalu dan direman selama dua minggu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/CYWXdnf
via IFTTT