Rembat dana (RM56 juta) kanak-kanak miskin untuk bayar kad kredit, bina rumah, bekas 'First Lady' dipenjara 14 tahun
Isteri kepada bekas presiden Honduras dijatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun selepas mahkamah mendapati wanita itu menipu dan menyeleweng dana untuk kanak-kanak miskin.
Rosa Bonilla didakwa menyalahgunakan dana USD12.2 juta (RM56 juta) bagi membantu kanak-kanak miskin, untuk membayar kad kredit, yuran persekolahan anak-anaknya dan pembinaan hartanah.
"Bekas wanita pertama, Rosa Elena Bonilla dihukum penjara 14 tahun sebulan atas jenayah penipuan dan menyeleweng dana awam untuk program sosial," kata jurucakap Mahkamah Agung, Carlos Silva.
Bagaimanapun peguamnya, Juan Berganza berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap hukuman itu.
Difahamkan, Rosa dalam perbicaraan sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman penjara selama 58 tahun. Tetapi, hukuman itu dibatalkan Mahkamah Agung pada 2020 selepas mendapati alasan hukuman yang diberi itu tidak konsisten.
Kes itu kemudian diarahkan dibicara semula di mahkamah rendah yang kemudian mendapati Rosa bersalah pada Mac lalu.
Porfirio Lobo dilantik sebagai Presiden Honduras selepas rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan pimpinan Manuel Zelaya pada 2009 dan berkhidmat sehingga 2014.
Seorang anak lelaki pasangan itu, Fabio Lobo, dihukum penjara 24 tahun oleh sebuah mahkamah di Amerika Syarikat pada 2017 kerana berkonspirasi menyeludup kokain.
Sumber: Utusan Malaysia
from The Reporter https://ift.tt/DgLs0UT
via IFTTT