Azman mengaku tak bersalah atas 5 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap 2 remaja lelaki

Foto Utusan Malaysia


Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias, 41, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki. 


Azman bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datin Surita Budin.


Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga 5 pagi. 


Tertuduh turut mengulangi perbuatan yang sama terhadap mangsa berusia 16 tahun pada 6 Julai 2022, antara jam 3 pagi hingga 5 pagi di lokasi yang sama pada 5 Februari 2022, antara jam kira-kira 8.30 malam hingga 12 tengah malam. 


Azman didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan. 


Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly, meminta mahkamah mengenakan jaminan tinggi terhadap tertuduh iaitu RM15,000 bagi setiap pertuduhan. 


Peguam Mohamad Zahid Ahmad bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana pendapatan anak guamnya terjejas sejak direman bulan lalu, selain memerlukan bantuan keluarga untuk menjaminnya. 


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dan dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Azman juga dikehendaki melaporkan dirinya di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Disember ini untuk serahan dokumen. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/PSrBsJ3
via IFTTT