Individu kerap update media sosial sebab dahagakan perhatian, rasa popular & perlu disanjung sepanjang masa
Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang tidak sukakan perhatian. Apatah lagi pada zaman ini media sosial hanya di hujung jari. Dengan wujudnya telefon pintar, platform media sosial seperti Instagram, Twitter, TikTok, Facebook semuanya menjadi mudah. Malah sudah pun menjadi sinonim dalam kehidupan. Bangun tidur ambil gambar dan post di wall peribadi. Dari satu 'like', dua, tiga empat lima dan mencecah ribuan, ratusan ribu siapa saja yang tidak suka. Malah ada yang ketagih untuk mengira berapa banyak 'like' yang diterima untuk setiap post yang dikongsikan di media sosial.
Persoalannya kenapa? Mengapa menjadi sangat taksub?
Kehidupan sekarang ini, ramai yang kata plastik! Kenapa plastik? Segala apa yang dipaparkan tak selalunya seindah seperti yang digambarkan. Dengan wajah cantik mulus, baju berjenama saban kali bercuti luar negara pastinya akan dikongsikan di media sosial. Tergedik-gedik menari dengan tujuan mahu menampakkan betapa kehidupan golongan ini sangat bahagia, seperti langsung tidak ada masalah!
Boyfriend mengucapkan selamat hari jadi, hah! Mulalah sibuk dikongsi di media sosial dengan kata kata ucapan sayang yang kalau ikut logiknya, baru saja selesai berdating face to face. Tak cukup dengan itu, disambung di Facebook pula. Teruja dengan ucapan tahniah dan pujian. Barangkali ini yang menjadikan seseorang itu sangat suka berkongsi segalanya di media sosial.
Tetapi kenapa semua ini berlaku langsung tanpa sempadan? Masalah jiwa? Masalah kurang penghargaan di kalangan keluarga atau rakan-rakan? Atau seseorang itu ingin lari dari kehidupan sebenar yang lebih dari sekadar apa yang dipaparkan di media?
Tidak ada kesimpulan yang kekal untuk dirumuskan, setiap dari kita mempunyai pelbagai ideologi dalam konteks kenapa media sosial. Pokoknya, bagaimana seseorang itu mengunakan media sosial itu sama ada untuk berkongsi cara hidup, lari dari masalah, mahupun sekadar suka-suka.
Isu dahagakan perhatian ini akan terus ada selagi seseorang itu tidak pernah puas dengan setiap apa yang diinginkan. Tidak mempunyai keyakinan diri atau mempunyai masalah dalaman yang hanya golongan ini sahaja yang tahu. Dengan perhatian yang diberikan melalui respon dan komen, pastinya akan membuatkan seseorang itu dihargai dan berasa diri mereka diterima dengan baik.
Tiada sesiapa yang tahu apa yang ada di dalam hati mereka. Agak jelek sekiranya ada pula yang inginkan perhatian atas alasan mereka berhak, mereka popular dan mereka beranggapan mereka perlu disanjung. Yang pastinya ketagihan perhatian di media sosial ini, sama ada kita sedar atau tidak telah pun mematikan banyak aspek rohani yang semula jadi, perasan malu dan segan jugak semakin berkurangan. Tidak ada lagi istilah privasi.
Semua dari kita memerlukan perhatian, sudah nama pun manusia. Apabila medapat perhatian yang sewajarnya, pasti akan membuatkan hidup kita lebih bermakna dan bahagia. Perhatian amat perlu, namun sekiranya ia menjadi satu ketagihan jangan pula berasa marah jika menerima kutukan di media sosial.
from The Reporter https://ift.tt/8ycPbKJ
via IFTTT