Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disyaki didera oleh bapa angkatnya kerana berang dengan mangsa yang membuang air besar di tilam, selain tidak mahu makan, dalam kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri di Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang saksi iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga adik ipar lelaki terbabit yang tinggal bersama dengan suspek sejak sebulan lalu.
Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 30 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dikatakan telah memukul mangsa sejak September dan kali terakhir pada jam 7 malam kelmarin.
Difahamkan, saksi terdahulu menegur kakaknya dan suspek memarahi mangsa sehingga tercetus pergaduhan. Saksi mendakwa, dia pernah melihat suspek memukul mangsa.
"Mangsa dijaga oleh kakak pengadu sejak berusia lima bulan yang diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara sukarela.
"Mangsa mengalami kecederaan di badan, kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan, dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek. Mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang," katanya.
Bertindak di atas laporan yang diterima, polis telah menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam lima petang semalam.
Keputusan ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/fK5FABX
via IFTTT