Bagi tempoh dari 23 Oktober hingga 29 Oktober, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes Covid-19 sebanyak 16.5 peratus dan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan juga meningkat sebanyak 14 peratus.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dari segi kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam turut menunjukkan peningkatan terutamanya di kalangan mereka yang mempunyai gejala sederhana. Penggunaan katil ICU pula hanya meningkat sebanyak dua peratus sahaja.
"Malaysia hari ini sedang berdepan dengan gelombang kecil. Dari segi kesan, ia tidak menunjukkan sesuatu yang membimbangkan. Cuma KKM mengambil maklum dengan trend jangkitan yang sedang meningkat," katanya.
Dalam pada itu, Khairy memberi peringatan kepada orang ramai agar berhati-hati dan berwaspada lebih-lebih lagi menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Malaysia masih dalam fasa peralihan pandemik. Gelombang jangkitan ini akan datang dan pergi, bilangan kes akan pasang dan surut. Buat masa beberapa minggu yang lepas dan akan datang, trend dijangka akan meningkat.
"Isyarat daripada sidang akhbar ini memang jelas. Pelitup memang tidak wajib tetapi amatlah disyorkan untuk memakai pelitup muka terutama di tempat sesak dan tertutup. Terutamanya bagi golongan berisiko tinggi berusia dari 50 tahun ke atas, berpenyakit kronik atau yang mempunyai masalah sistem imun. Tiada sekatan atau paksaan, tetapi KKM mesti memberi nasihat dan syor berikutan trend jangkitan semakin meningkat.
"Pakailah pelitup muka untuk keselamatan diri anda. Buat ujian dan lapor di aplikasi mySejahtera (jika positif) agar KKM dapat mendapat gambaran sebenar kes Covid-19 di Malaysia," katanya.
Dalam sidang media itu, Khairy memaklumkan setakat hari ini hanya 519,839 orang telah mendapatkan suntikan booster vaksin (kedua) yang dikatakan kadarnya masih rendah.
"Booster kedua punya kadar masih rendah dan sebab itu kita harap rakyat Malaysia yang belum menerima booster tampil mendapatkan booster tanpa paksaan. Setakat hari ini hanya 519,839 orang sahaja yang telah mendapat booster yang kedua. KKM galakkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang punyai masalah kesihatan/kronik mendapatkan booster kedua.
"Yang tiada apa-apa masalah kesihatan juga boleh mendapatkan booster. KKM menasihati orang ramai jika dijangkiti Covid-19 disarankan merujuk ke fasiliti kesihatan awam terdekat untuk mendapatkan rawatan (ubat antiviral).
"Saya minta tolong sangat terutamanya kepada rakyat Malaysia untuk jaga ahli keluarga yang berisiko tinggi dalam tempoh beberapa minggu ini kerana Malaysia berdepan dengan peningkatan kes Covid harian," katanya.
Sumber: Sidang Media KKM
from The Reporter https://ift.tt/Ock4lhE
via IFTTT