''Hamba Allah ini (Anwar) ada tauliah kah? Haram keturunan saya undi PH kali ini!' - Ustaz Ahmad Dusuki tuntut penjelasan dari MAINPP, tetapi..



Jumaat lalu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengeluarkan surat pekeliling yang menyenaraikan 16 nama individu yang didapati tidak memiliki tauliah mengajar daripada MAINPP.


Antara individu yang disenaraikan itu adalah, Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Mohd Kazim Elias. 


Susulan itu, MAINPP melarang pihak penganjur menjemput individu-individu berkenaan untuk menyampaikan ceramah, khutbah atau majlis ilmu atas sebab ketiadaan tauliah mengajar yang dikeluarkan MAINPP. 


Semalam, Ahmad Dusuki, 46, melalui akaun Twitternya meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan MAINPP yang dikatakan berat sebelah. Malah, beliau mendakwa MAINPP tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang didakwa memberi ceramah dalam masjid walaupun tiada tauliah. 


"Saya antara nama yang disenarai nama yang dilarang berkuliah di Pulau Pinang oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sebagaimana yang disebarkan di media-media massa disebabkan saya tidak ada tauliah katanya. 


"Manakala hamba Allah ini (Anwar Ibrahim) pula? Ada tauliah juga kah? Saya menunggu jawapan dan tindakan dari MAINPP. Haram keluarga saya dan keturunan saya mengundi PH kali ini! Noktah," tulisnya. 



Bagaimanapun, ada netizen tampil memaklumkan kepada Ahmad Dusuki bahawa mereka berada di tempat kejadian dan menafikan dakwaan kononnya Anwar memberi ceramah, apatah lagi bercakap mengenai hal-hal politik di masjid tersebut. 


"Dia semalam, Tok Imam yang minta dia bagi tazkirah. Semalam dalam masjid, dia tak sembang langsung pasal politik. Dia singgah sembahyang maghrib dan jamak. Selepas itu, dia rehat dan nak keluar. Tok Imam yang minta dia bagi sedikit tazkirah. Jangan risau, masjid itu dengar kata masjid Pas," kata Bangkif. 


"Ustaz kenapa kongsi gambar sahaja? Video tak ada? Sebab saya saksi yang ada di masjid itu. Tak ada langsung bercakap tentang politik, hanya menekankan keadilan dalam Islam dan kasih sayang. Ustaz tak serik ke kena saman fitnah dari Mujahid dulu?" kata Amirul. 


"Ada saksi di dalam masjid kata beliau cuma singgah untuk solat maghrib. Kemudian jemaah masjid minta beliau memberikan tazkirah, penyampaian mengenai keadilan dalam Islam. Ada jemaah cuba selitkan hal politik, tetapi beliau minta bincang politik di luar. Harap tidak menimbulkan sebarang persepsi mengenai seseorang walaupun berbeza dari segi fahaman poilitik," kata Khairul Syazwan. 


"Aku ni taklah baik, tetapi selepas nampak statement ustaz ni, aku rasa aku lagi baik dari dia. Nama ustaz, tapi babitkan sampai ke politik. Jangan membenci seseorang  disebabkan kita tidak mendapat kebaikan. Apatah lagi menyebarkan kebencian terhadap seseorang," kata Nrsyph. 




Sumber: Instagram Ahmad Dusuki

from The Reporter https://ift.tt/xZk8TEl
via IFTTT