'MCA tak sedar ke mereka hanya menang 2 kerusi?' - Bung Moktar, Jamal Yunos selar tindakan MCA, MIC, PBRS gesa Zahid berundur
Tindakan MIC, MCA dan PBRS menggesa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur secara terhormat dilihat seperti tidak sedar diri, mengundang beberapa pemimpin UMNO tampil meminta tiga presiden parti komponen itu mencerminkan diri sebelum berbuat demikian.
Pengerusi BN Sabah, Moktar Radin berkata, gesaan MCA itu tidak berasas, malah tidak wajar kerana MCA pada PRU15 hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen daripada puluhan kerusi yang ditandinginya.
Bagi Moktar, tindakan MCA itu bukan sahaja tidak sedar akan kesalahan sendiri, malah tidak menghormati institusi presiden.
"MCA janganlah gesa itu ini, macam itu, ini gesa lagi pengerusi kita berundur, apa cerita? Mereka ini tidak sedarkah, hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan pengerusi kepada mereka? Itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.
"Cerminlah diri itu terlebih dulu sebelum buat keputusan. Kita dalam BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan," katanya.
Turut sependapat dengan Moktar, Pengarah Komunikasi BN Selangor, Jamal Md Yunos, yang mendakwa MCA dan MIC sudah mula bersikap besar kepala sedangkan prestasi mereka tidak begitu memberangsangkan pada PRU15.
"MCA yang sepatutnya perlu berundur. MCA ini macam sudah tiada dan tak wujud. Saya rasa BN perlu dibubarkan dan UMNO bergerak sendirian selepas meneliti prestasi MCA, terutama di Bahagian Sungai Besar.
"Tak guna ada komponen BN tetapi mereka seolah-olah jadi 'Abang Long', mereka besar kepala, padahal bukan apa-apa pun. Bertanding pun hanya berani di kawasan majoriti Melayu. Kalau berani, bertandinglah di Bukit Bintang, Seputeh dan sebagainya," katanya.
Pada PRU15 lalu, parti berasaskan bangsa Cina, MCA, telah diberi amanah untuk bertanding di 44 kerusi Parlimen. Bagaimanapun, parti itu hanya menang dua kerusi sahaja. Keputusan itu sekali gus memperlihatkan MCA gagal teruk dalam mendapat sokongan masyarakat Cina.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/OkPIetf
via IFTTT