Kegagalan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengatur strategi untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) di PRU15, mencetus rasa tidak puas hati ahli gabungan itu sendiri yang kini tampil mendesak Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan meletak jawatan.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, menggesa Zahid meletak jawatan segera seperti mana yang dilakukan oleh Najib Razak semasa gagal memenangi PRU14.
"Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, di mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
"UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi di Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satu pun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
"Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk diri saya perlu kembali mendengar suara rakyat yang sudah diterjemah melalui undi mereka semasa PRU15 semalam.
"Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi.
"Usaha untuk memulih dan memperbaiki parti ini perlu bermula sekarang. Jika kita tidak berubah sekarang kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
"Oleh itu dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya YB Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamiid meletak jawatan sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak telah berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai presiden pada 2018," katanya.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/NFKHQ50
via IFTTT