'Saya terpaksa berlutut, bolehkah anda mengundi BN?' - Calon MCA melutut minta undi dari penduduk Bagan
Sedar peluang kemenangan semakin tipis, calon MCA di Parlimen Bagan, Tan Chuan Hong, sanggup melutut di atas pentas untuk merayu penduduk di kawasan itu mengundinya pada Sabtu, 19 November ini.
"Selamat sejahtera semua. Hari ini saya terpaksa berlutut, bolehkah anda mengundi BN?" katanya sebelum memulakan ucapan dalam program parti itu malam tadi.
Parlimen Bagan pada PRU15 ini menyaksikan Tan mencabar pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan dua lagi calon lain.
BN pada malam tadi mengadakan ceramah mega di Seberang Perai yang dihadiri oleh 250 orang yang kemudian beredar sedikit demi sedikit tatkala program masih berlangsung.
Ketika Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng berucap kira-kira jam 10 malam, hanya separuh daripada hadirin yang masih kekal mendengar ucapannya.
Dalam masa yang sama, lebih 500 orang menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh DAP, tidak beberapa jauh dari tapak ceramah MCA.
Difahamkan, Tan bukanlah calon MCA yang pertama merayu undi dalam kempennya pada PRU15. Calon MCA bagi Parlimen Indera Mahkota, Quek Tai Seong juga melakukan perkara yang sama untuk mendapatkan sokongan pengundi.
"Saya mohon, undilah calon BN, saya tidak mahu kalah lagi!" katanya pada Selasa lalu.
Sumber: MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/qvHIgZ6
via IFTTT