Sukar buang air besar, bongkar rahsia remaja hamil selepas kerap lakukan hubungan seks dengan 2 lelaki secara rela
Kesukaran seorang remaja perempuan membuang air besar membongkar rahsia dirinya sarat mengandung dan keluarganya membuat laporan polis kerana mengesyaki remaja itu telah dirogol.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4.30 petang semalam di sebuah kampung di Baling, pelajar tingkatan dua itu mengadu sukar membuang air besar, lalu dibawa oleh ibunya ke Hospital Baling.
Setelah menjalani pemeriksaan, doktor memaklumkan kepada wanita berusia 40-an itu bahawa anaknya sarat mengandung dan bakal melahirkan anak.
Setelah dua jam dimasukkan ke hospital, remaja itu disahkan telah selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.
"Wanita terbabit memberitahu, anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun melalui kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.
"Wanita itu juga mendakwa, dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal anaknya sejak tiga bulan lalu. Tetapi mangsa menafikan dirinya hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik," kata sumber.
Perasaan curiga itu bertambah apabila dia ternampak cecair jernih di atas tilam di ruang tamu tempat tidur anaknya. Tetapi remaja itu memberitahu dia terkencing.
"Selepas ternampak darah yang meleleh melalui paha anaknya, dia terus membawa remaja itu ke hospital dan di situ barulah dia mengetahui anaknya sudah sarat dan selamat melahirkan bayi perempuan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan telah mengambil keterangan remaja berkenaan.
Siasatan awal mendapati, remaja itu mengaku ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang tinggal di kampung yang sama dengannya.
"Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuannya di sekolah.
"Remaja itu bagaimanapun mendakwa, dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu.
"Setakat ini, kita masih mengesan suspek bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/x4mp0To
via IFTTT