'Ambil tindakan segera terhadap pemandu lori, gantung permit operasi syarikat lori ini' - Menteri Anthony Loke



Susulan tular luahan seorang lelaki mengenai kemalangan berpunca dari kecuaian pemandu lori sehingga menyebabkan mereka kehilangan bayi sulung, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, telah mengarahkan pihaknya mengambil tindakan terhadap pemandu dan syarikat logistik tersebut. 


Laporan berkaitan:



"Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga. 


"Saya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut. 


"Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk (kerja-kerja) audit ke atas semua lori mereka," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya hari ini. 


Dalam pada itu, Anthony menegaskan beliau  tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya. 



Semalam, tular di media sosial luahan seorang mangsa kemalangan yang kesal dengan sikap seorang pemandu lori didakwa membawa muatan melebihi had ketinggian sehingga menyebabkan muatan tersebut terjatuh dan menimpa tiga kenderaan. 


Menurut pengadu, kemalangan itu telah menyebabkan isterinya cedera parah di mana rahimnya pecah, tulang belakang terbelah tiga, tiga tulang rusuk patah, otak dan hati cedera. 


"Ini anak pertama kami, kenapa kamu begitu kejam merampas dia dari kami? Kerana kecuaian pemandu lori dan mereka yang terlibat telah menyebabkan bayi sulung kami pergi buat selama-lamanya. Saya tidak akan memaafkan kamu semua," katanya. 


Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook



from The Reporter https://ift.tt/cA6b4q0
via IFTTT