'DAP disanjung ramai sebab berdiam diri, tetapi tak pernah ubah dasar & ideologi yang dipegangnya' - Hadi Awang
Umum tahu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melakukan serangan agresif terhadap DAP sejak gagal menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presidennya, Abdul Hadi Awang dan beberapa lagi pemimpin Pas yang lain mengeluarkan kenyataan sedemikian yang dipercayai untuk meraih persepsi bahawa Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya membentuk Kerajaan Pusat.
DAP bagaimanapun memilih untuk bersabar dan berdiam diri serta tidak mahu memberi respon terhadap kenyataan pemimpin Pas.
Tindakan DAP itu mengundang rasa kurang senang Pas yang kemudian mengatakan DAP kini disanjung ramai kerana mengamalkan sikap berdiam diri, tetapi tidak pernah mengubah dasar dan ideologi yang dipegangnya.
"Kini, DAP yang dikatakan kononnya sudah berubah sedang disanjung, walaupun ideologi dan pendekatannya secara terang-terangan bersikap anti-Islam.
"Hal ini demikian kerana mereka berdiam diri tanpa mengubah dasar partinya, bersama parti-parti yang bersekongkol dengannya.
"Mereka bertindak sedemikian semata-mata demi memperoleh kemenangan yang menghalalkan cara, tanpa peduli terhadap amaran Allah SWT kepada generasi awal yang menjadi teladan.
"DAP tidak perlu bercakap banyak kerana sudah ada Melayu berwajah Islam dapat dipasang di semua peringkat atas nama menentang perkauman yang melulu terhadap bangsa dan agamanya sendiri.
"Tanpa mereka melihat secara ilmu Islam yang membezakan antara fanatik kaum dedngan bangsa Islam yang wajib memimpin dengan berlandaskan prinsip yang adil kepada semua.
"Kenyataan mereka secara terbuka yang menentang hukum Islam dan memberikan sokongan kepada golongan yang murtad sudah menjadi bukti yang sangat nyata.
"Walaupun ramai yang berada di sisi mereka menjadi syaitan bisu, tetap tidak boleh menafikan sikapnya yang sebenar. Maka, Pas membuat satu keputusan yang betul berpandukan panduan nas dan kajian yang mendalam," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa pemimpin Melayu-Islam kini dipermain tanpa menyedari perangkap sedang menunggu mangsanya untuk ditelan.
"Caranya sangat mengkhayalkan fikiran dengan pil kuda, apabila menampilkan pemimpin yang nyata fasiq berwajah Islam dan bergelumang dengan kesalahan akhlak dan rasuah, bersama kerakusan nafsu pangkat dan harta tanpa sempadan.
"DAP berjaya mengerahkan pengundi daripada kalangan bukan Islam seramai-ramainya yang mempunyai matlamat politik yang sama dari seluruh pelosok negara dan luar negara supaya menyokongnya.
"Parti-parti Melayu yang bersekongkol dengannya dan juga calon DAP daripada kalangan Melayu juga telah diperalatkan," katanya.
Sumber: Malaysia Gazette
from The Reporter https://ift.tt/fvo7L4j
via IFTTT