Kanak-kanak lemas, kereta terbabas & terjunam dalam Sungai Korok

Foto Safuan Salahudin


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan lemas, manakala ibu (hamil 7 bulan) dan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan, selepas kereta yang dinaiki keluarga itu terjunam ke dalam Sungai Korok, hari ini.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan yang membabitkan kereta Proton Saga yang dinaiki tiga sekeluarga itu pada jam 2.40 petang.


Siasatan awal mendapati, keluarga terbabit dalam perjalanan menghala ke Pekan Jitra dari arah Tanjung Kapur sebelum dipercayai terbabas  sendiri dan terjunam ke dalam sungai. 


Nurul Aqmar Zainol, 34, yang hamil tujuh bulan dan pasangannya, Suhaimi Hassan, 36, berjaya keluar menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan. 


Malangnya, Muhammad Khairil Muhaimin Suhaimi, 12, gagal mencari jalan keluar dan lemas dalam kenderaan itu. Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra pada jam 4.10 petang, selepas kereta Proton Saga itu dinaikkan dengan bantuan trak penunda. 


Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.


Sumber: Harian Metro, Safuan Salahudin



from The Reporter https://ift.tt/EGxnTaI
via IFTTT