Kerajaan akan import telur ayam untuk atasi masalah kekurangan bekalan - Mat Sabu



Kerajaan bersetuju mengimport bekalan telur ayam dari beberapa sumber luar sebagai pelan jangka pendek untuk menampung keperluan bekalan dalam negara.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa sumber dari luar untuk menampung keperluan bekalan dalam negara dengan kadar segera bagi memastikan keterjaminan telur ayam di pasaran.


“Kementerian juga akan memastikan telur ayam yang diterima selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan. Segala protokol dan tatacara ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi.


“Kementerian menyedari keperluan bekalan telur ayam merupakan makanan seharian berprotein yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan,” katanya.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa langkah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kos sara hidup termasuk mengurangkan harga telur ayam.


Mohamad berkata inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah bertujuan menekan pengusaha industri telur ayam tempatan sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus selain kebajikan rakyat terus terjaga.


Beliau berkata keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula setelah bekalan kembali stabil selain meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid untuk melihat impak mengimport telur ayam dari sumber luar kepada industri telur ayam tempatan sedia ada.


Selain itu, Mohamad berkata Agrobank juga diminta untuk mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri.


“Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif.


“Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/2WGlwgB
via IFTTT