'Mana ada kami sorok telur?' - Persatuan Penternak Telur & Ayam mahu kerajaan hapuskan harga siling & subsidi | Nampak tak?



Beberapa hari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memaklumkan Kerajaan akan mengimport telur ayam dari luar bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dalam negara. 


Pengumuman itu menimbulkan banyak persoalan rakyat di media sosial yang menyifatkan tindakan itu tidak masuk akal kerana Malaysia merupakan pengeksport bersih makanan itu ke Singapura dan Hong Kong. 


Malah, ada pengusaha pasar raya terkemuka menganggap tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan sumber protein berkenaan.


Walaupun dalam kenyataan itu, Mohamad Sabu menjelaskan tindakan itu dibuat bukan bertujuan menekan pengusaha telur ayam tempatan, tetapi ia telah membangkitkan kebimbangan golongan itu. 


Persatuan Penternak Ayam Selangor menyangkal dakwaan bekalan telur ayam berkurangan dan mahu bertemu dengan Mohamad Sabu untuk membincangkan isu tersebut. 


"Saya mahu berjumpa dengan menteri untuk membincangkan isu ini kerana kita memahami keadaan yang berlaku di lapangan. Mohamad mungkin tidak diberi taklimat dengan betul mengenai situasi sebenar. Keputusan Kementerian untuk mendapatkan telur dari luar negara akan menjejaskan penternak. 


"Kita mempunyai kapasiti untuk memenuhi permintaan telur dan ayam. Harga siling dan subsidi adalah bebanan kami. Kerajaan perlu hapuskan harga siling dan subsidi supaya wujud persaingan sihat untuk memenuhi permintaan," katanya Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin.


Idrus juga menafikan dakwaan tidak berasas kononnya penternak ayam menyorok bekalan, sedangkan perbuatan itu hanya sia-sia dan tidak menguntungkan. 


"Tiada gunanya kami menyimpan telur dan ayam. Kami hanya mahu menjual telur dan ayam dengan harga yang berpatutan kerana menjalankan perniagaan tanpa keuntungan adalah sia-sia," katanya. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/wSWU5H6
via IFTTT