2 founder kosmetik & 3 lagi rakan didakwa di mahkamah atas pertuduhan mencederakan peniaga lain



Lima individu termasuk dua wanita pengasas produk kosmetik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas pertuduhan mencederakan dua individu dalam kejadian yang berlaku pada Julai 2022. 


Orang Kena Saman (OKS), Nur Farhana Ismail, 32, Anes Ayunie Osman, 21, Muhammad Hakimi Mohd Azmi, 33, Ahmad Weldan Zulkefli, 22 dan Muhammad Firdaus Alias, 21 bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut. 


Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama mencederakan An Nur Amani Nazifa Anuar, 19, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan leher, manakala Mohamad Nurhisyam Afandi Mahadi, 30, pula cedera di tangan, kaki dan lutut kiri. 


Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis di Jalan Padang Garong, jam 3 pagi, 9 Julai 2022.


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 


Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang kepada tertuduh. Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Ahmad Adha Amir Yasser Amri, memohon agar diberi jaminan yang rendah kerana jumlah jaminan RM5,000 itu agak tinggi. 


Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM2,000 seorang dengan seorang penjamin, dan menetapkan 20 Februari depan untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/XZyqb9p
via IFTTT