Seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu dikesan berada di sekitar Tampoi, Johor.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, Mohd Irfan Hakimi dikesan berada di negeri itu berdasarkan rekod tansaksi kad debit miliknya.
Semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berhampiran juga mendapati lelaki itu bersama dengan seorang individu lain yang dipercayai rakannya.
Motosikal milik Mohd Irfan, jenis Yamaha LC135 turut ditemui di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan.
"Jadi, kita percaya pelajar berkenaan pergi menaiki bas menuju ke Johor," katanya.
Isnin lalu, ahli keluarga pelajar berkenaan membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar, Sabak Bernam, berhubung kehilangan Mohd Irfan yang dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menunaikan solat Jumaat.
Susulan maklumat awal itu, keluarga pelajar berkenaan telah dimaklumkan dan kini dalam perjalanan ke Johor untuk mencari anak mereka.
Siasatan turut mendapati Mohd Irfan tidak mengalami sebarang masalah peribadi atau berada dalam keadaan murung.
Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan lelaki itu untuk tampil menghubungi balai berhampiran untuk membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/93qYAGw
via IFTTT