Pimpinan Kerajaan Terengganu dikritik kerana tidak menyambut kehadiran Perdana Menteri



Disember 2022, bencana banjir telah melanda di dua negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu menyebabkan ramai penduduk yang kehilangan tempat tinggal. Sehubungan itu, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan segera sebanyak RM50 juta kepada dua negeri berkenaan.


Bagaimanapun, pimpinan dua negeri itu mempertikaikan mengapa bantuan RM50 juta itu tidak disalurkan terus kepada mereka. Sebaliknya disalur kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), agensi di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) yang diberi tanggungjawab untuk menguruskannya. 


Banyak pihak percaya hal itu menjadi punca kedatangan Anwar Ibrahim ke Terengganu tidak disambut oleh pimpinan kerajaan negeri walaupun dikatakan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sememangnya berada dalam negeri pada ketika itu.


Ditanya berkenaan dakwaan Terengganu dipinggirkan, Samsuri enggan menggulas mengenai perkara itu tetapi menegaskan kerajaan persekutuan sepatutnya menghormati Perlembagaan Persekutuan.


"Saya tidak mahu komen soal anak tiri atau tidak, tetapi minta kerajaan persekutuan menghayati semangat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan dari segi bidang kuasa jadual bersama antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri," katanya.


Jadual tersebut berkenaan bidang kuasa dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk soal bantuan sosial


Jelas Samsuri, segala perbincangan dan penyelarasan perlu dihormati dalam melaksanakan kuasa berdasarkan jadual itu.


"Kita percaya mereka tidak ingin laksanakan politik sengketa, namun terpulang kepada mereka," katanya lagi.


Terdahulu, dalam satu dialog Anak Muda, Samsuri berkata sudah dua bulan Menteri-Menteri Besar masih belum dipanggil mesyuarat bersama Perdana Menteri. Beliau juga membandingkan di antara kepimpinan Tun Mahathir dan Anwar. Katanya, seminggu selepas pembentukan kerajaan, Tun Mahathir sudah mengadakan mesyuarat bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri. 


Namun begitu, netizen mempersoalkan kenyataan Samsuri. Netizen mendakwa berdasarkan kepada tarikh kerajaan yang dibentuk pada 09 Mei 2018 , mesyuarat pertama diadakan adalah pada tarikh 16 Oktober 2018.


Dalam hantaran di Facebook, Anwar berkata kunjungannya ke Terengganu hari ini 'bukan untuk mencerca sesiapa' tetapi demi rakyat.


"Saya amat berharap kita dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada PRU15 yang lalu dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan dan merosakkan," katanya.


Anwar juga berharap dapat bertemu kerajaan Terengganu setelah keadaan politik mereda. Bagaimanapun Anwar tidak menyentuh soal dana RM50 juta tidak disalurkan secara terus kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu.


Dalam kunjungannya ke Terengganu semalam, selain menghadap Sultan Terengganu, Anwar juga sepat bertemu dengan ketua-ketua jabatan persekutuan di Terengganu dan mengingatkan mereka bahawa setiap negeri perlu dilayan secara setara.


"Saya adalah perdana menteri untuk semua negeri dan layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama," katanya lagi.


Sumber: MalaysiaKini, Revolusi Anak Muda Malaysia



from The Reporter https://ift.tt/fn6mwSU
via IFTTT