'Saya tak bersetuju penyondol dalam istilah isteri kedua' - DDNK akui lebih kerap ke masjid selepas kahwin dengan isteri kedua



Sekian lama menyepi dari bualan netizen di media sosial, pasangan DDNK dan isterinya kembali menarik perhatian netizen untuk berkongsi pendapat masing-masing mengenai kenyataan baharu pakar pelaburan saham berkenaan yang baru-baru ini disiarkan oleh Harian Metro. 


Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan (DDNK), 48, berkata, semenjak berkahwin dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 26, pada September lalu, dia kini lebih kerap ke masjid dan kuliah agama, berbanding dulu. 


"Bila saya kahwin dengan yang lebih muda ini, saya pun berasa lebih muda. Kalau dulu saya jarang pergi masjid, sekarang saya sudah selalu. Kalau dulu jarang pergi kuliah agama, sekarang sudah kerap," demikian kata empunya tagline 'Tak Handsome Tak Apa, Janji Kaya'. 


Bagaimanapun, DDNK menjelaskan dia tidak beniat hendak menyalahkan isteri pertama. Namun itulah kebenaran mengenai perjalanan hidupnya yang lalu. Dari perceraian dengan isteri pertamanya juga, dia turut mendapat pengajaran. 


"Saya rasa refleksi dan peluang kedua saya dalam kehidupan. Walaupun isteri kedua saya ini muda, tapi dia membanu saya menghampiri matlamat hidup iaitu berjaya di dunia dan akhirat. Alhamdulillah, hidup saya lebih tenang dan tidak banyak pening kepala dari segi kerja. 


"Pengalaman hidup dengan isteri pertama dan kedua, masing-masing ada kelebihan. Untuk isteri kedua yang lebih muda ini dia lebih manja, lebih fleksibel, dengar cakap dan tak banyak karenah. Mungkin rasa hormatnya ada di situ. Tapi dia juga lebih nakal, kuat cemburu dan kuat merajuk. 


"Kalau isteri yang dulu lebih berusia, dia lebih matang, terbuka, bersikap keibuan dan faham kehidupan. Tapi itu adalah pilihan kita. Kedua-duanya hebat dan perlu tahu apa matlamat hidup. Kita perlukan isteri yang boleh sokong matlamat kita," katanya. 


DDNK mengakui, kontroversi rumah tangga pelakon Syamsul Yusof dan Puteri Sarah serta Ira Kazar turut menyebabkan isterinya terkena tempias. DDNK tidak bersetuju isteri kedua, ketiga dan keempat dilabel sebagai penyondol rumah tangga kerana apa yang berlaku sudah pastinya bukan bertepuk sebelah tangan. 


"Saya tak bersetuju penyondol dalam istilah isteri kedua. Bagi saya ia tidak boleh berlaku sebelah tangan. Tidak boleh rempuh atau santau untuk terus berkahwin. Ia mesti bertepuk dua belah tangan. 


"Bila sebut berkenaan cinta dan sayang, ia adalah perkara yang kita tiada daya untuk menahan. Bila sudah sayang, kita tidak boleh menipu perasaan. Bila kita kata sayang, maksudnya kita memang sayang. Bagi saya, tidak boleh seorang saja yang sayang untuk terus kahwin.


"Jadi, sondol menyondol ini tidak betul. Kalau daripada konteks saudara Syamsul (Syamsul Yusof) atau sesiapa saja, apa yang penting adalah kalau boleh berbahagia dengan yang pertama atau kedua (isteri) itu yang terbaik. Saya tiada pengalaman sebegitu, isteri saya yang kedua memang sangat baik.


"Kita semua perlu faham ini adalah jodoh dan kuasa Allah. Mungkin orang tidak boleh terima tapi itulah hakikatnya. Saya tidak setuju dengan istilah sondol menyondol ini," katanya.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/8yBzpMU
via IFTTT