'Saya tak sedar, saya terdengar bisikan' - Lelaki tikam pesakit di hospital diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Gambar tertuduh | Kosmo Online


Mahkamah Sesyen Selayang hari ini memerintahkan seorang lelaki yang menikam seorang pesakit di Hospital Selayang, menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjong Rambutan, Ulu Kinta, Perak.


Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal supaya Mohd Khairul Kamul, 22, dihantar ke pusat psikiatri kerana dipercayai keadaan mental tertuduh tidak stabil.


"Pihak pendakwaan membuat permohonan itu di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Tertuduh juga telah ditahan dan menerima rawatan di Jabatan Psikiatrik Hospital Selayang sejak 15 Feb lepas. Tiada jaminan dicadangkan terhadap tertuduh," katanya.


Tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas V Sathish Rao, 29, menggunakan sebilah pisau di Zon Kuning Bahagian Kecemasan Hospital Selayang di sini, pada 3.45 petang, 14 Februari lalu.


Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Mohd Khairul mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan namun mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuannya.


"Saya tidak sedar dan di bawah halusinasi serta terdengar bisikan-bisikan," katanya ketika ditanya jurubahasa sama ada dia faham pertuduhan atau tidak.


Dalam prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dia dirawat di rumah kakaknya di Batu Caves.


Hakim Nor Rajiah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 29 Mac untuk sebutan kes bagi laporan psikiatri tertuduh.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki yang menghidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.


Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Namun, mangsa kini dilaporkan stabil.


Sumber: Bernama



from The Reporter https://ift.tt/ktRCPX3
via IFTTT