Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Taman Perak, Kulim, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, semasa kejadian itu berlaku, penghuninya tiada di rumah.
Siasatan awal mendapati, kereta SUV jenis Honda BR-V itu dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun, bersama deengan anak perempuannya berusia 15 tahun, dalam perjalanan menghala ke Taman Emas dari Taman Perak.
"Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar rumah yang berada di hadapan kepala simpang.
"Pemandu kereta mengalami luka di kaki dan tangan, manakala anaknya luka di dahi dan leher. Kedua-duanya mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kulim," katanya.
Sementara itu, pemilik rumah, Mohd. Shakir Fairuz Ahmad, 38, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh jirannya bahawa bilik tidur mereka dirempuh kereta.
"Disebabkan isteri akan masuk wad bersalin di Hospital Kulim esok, saya ambil keputusan untuk mengajaknya makan tengah hari bersama anaka-anaknya pada waktu rehat.
"Saya pulang ke rumah pukul 12.45 tengah hari lalu kami keluar makan di sebuah restoran di Lunas. Namun ketika dalam perjalanan pulang, seorang jiran menghubungi kami dan memberitahu sebuah kenderaan merempuh rumah saya," katanya.
Menurut Mohd. Shakir, bilik itu kebiasaan menjadi tempat untuk dua anaknya melepak dan belajar. Dia bersyukur kerana keluarganya terselamat daripada kejadian yang tidak diingini.
Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online
from The Reporter https://ift.tt/Z5LRCgq
via IFTTT