Hasrat seorang lelaki untuk memecah masuk rumah penduduk di Sumatera Utara, Indonesia tidak kesampaian apabila dia tersepit di celah pintu selama lima jam.
Menurut laporan media tempatan, suspek berusia 30 tahun terbabit terdahulu memecah masuk ke rumah mangsanya dengan cara mengumpil pintu menggunakan besi keluli sebelum meletak bongkah kayu di celah pintu.
Namun, suspek tidak bernasib baik apabila ketika dia cuba melarikan diri dengan menyelinap keluar menggunakan laluan yang sama, bongkah kayu itu tergelincir lalu menyebabkan pintu itu terhempas pada perutnya.
Suspek berusaha mengoyangkan pintu itu untuk melepaskan dirinya. Malangnya, dia tidak berdaya dan terpaksa menahan derita tersepit selama lima jam.
Sementara itu, pemilik rumah pada ketika itu tidak menyedari rumahnya dipecah masuk kerana tidak mendengar sebarang bunyi atau kekecohan di luar biliknya.
Tetapi apabila dia terjaga dari tidur, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati suspek masih terperangkap di celah pintu rumahnya. Mangsa segera menghubungi polis untuk meminta bantuan.
Polis yang tiba di lokasi mendapati suspek masih terperangkap. Polis kemudian membuka pintu tersebut untuk mengurangkan penderitaannya.
Suspek tiada pilihan dan terpaksa merelakan dirinya ditahan. Polis membawa suspek ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum disumbat ke dalam penjara.
Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV). Video CCTV menunjukkan suspek berkali-kali mencuba untuk melepaskan dirinya termasuk menggunakan sebatang kayu, tetapi gagal berbuat demikian.
Sumber: Thaiger
from The Reporter https://ift.tt/jTfLP4O
via IFTTT