'Saya malas' - Warga emas akui malas bekerja, jadi gelandangan di Kelantan sejak 20 tahun lalu



Bukan kerana kesempitan hidup, tetapi mengakui dirinya malas antara sebab seorang gelandangan warga emas yang dikenali sebagai Samad memilih jalan hidup itu sejak 20 tahun lalu. 


Samad, 66, berasal dari Pasir Mas itu mengakui tidak minat untuk bekerja atau mendapatkan tempat tinggal kerana tidak mempunyai sebarang komitmen termasuk tidak pernah berkahwin.


“Saya malas. Saya tidak mempunyai anak atau isteri, diri saya sahaja. Jadi, tak perlulah berfikir untuk menyewa atau memiliki rumah.


“Saya boleh tidur di mana-mana sahaja bahkan di Bukit Marak pun saya pernah tidur semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) Covid-19 lalu,” katanya ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu Banteras Pengemis dan Gelandangan di sini pada Selasa.


Operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Mohd Halimie Mat Salleh.


Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia sudah lama terputus hubungan dengan keluarganya kerana tidak mahu menyusahkan mereka apatah lagi masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri.


Bagaimanapun, Samad berkata setiap bulan, dia menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.


“Saya dapat bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) RM300 sebulan yang digunakan untuk membeli makanan dan minuman.


“Saya akan mandi di masjid-masjid yang berhampiran dan tidur beralaskan tikar,” katanya yang sedang tidur ketika dihampiri pasukan penguat kuasa.


Lelaki itu berkata, dia juga berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain antaranya di Pasir Mas dan Bachok. 


Sumber: Sinar Harian



from The Reporter https://ift.tt/Cl9VwO6
via IFTTT