Budak 10 tahun maut termakan sate beracun, angkara wanita berdendam jejaka idamannya bernikah dengan gadis lain



Selesai mengerjakan Solat Asar, seorang penunggang 'Ojol' (Teksi Motosikal) bernama Bandiman di Yogyakarta, Indonesia berhasrat menyambung semula tugasnya. Namun belum sempat bergerak, dia dihampiri seorang wanita yang meminta dia menghantar sebungkus sate kepada seorang lelaki bernama Tomi di alamat yang disertakan. 


Wanita berkenaan tidak mahu menggunakan aplikasi penghantar makanan dengan alasan tertentu dan menggesa Bandiman membantunya menghantar makanan tersebut. 


WANITA MISTERI MINTA HANTAR SATE


Tanpa ragu-ragu, Bandiman bersetuju lalu pergi ke lokasi. Sebaik saja tiba di lokasi, Bandiman menyerahkan bungkusan makanan itu kepada Tomi. Tetapi Tomi enggan menerimanya.


Bandiman berkata, dia tidak mengenali identiti pengirim dan hal itu membuatkan Tomi bertambah curiga. Tomi menolak makanan itu dan meminta Bandiman bawa pulang ke rumah untuk dimakan bersama keluarganya semasa berbuka puasa. 


ANAK TERUJA NAK MAKAN SATE


Pulang ke rumah, Bandiman bertemu dengan isteri dan anaknya, Naba Faiz Prasetya, 10, yang gembira melihat bapanya membawa pulang sate. 


Ketika itu, isterinya telah menyiapkan makanan untuk berbuka. Masuk waktu berbuka puasa, Naba terus mengambil sebatang sate untuk dimakan dan tiba-tiba kanak-kanak itu mengalami kesesakan nafas dan mengelupur sebelum meninggal dunia. 


Kes itu kemudian dilaporkan kepada pihak berkuasa dan polis mula menjalankan siasatan. Siasatan awal mendapati, sate tersebut mengandungi racun sianida. Bandiman disoal siasat dan memaklumkan mengenai wanita misteri itu.


DENDAM CINTA DIKHIANATI, SUSPEK MAHU BUNUH EX-BF


Tetapi disebabkan penghantaran itu tidak direkodkan menggunakan aplikasi, membantutkan usaha polis untuk menjejak suspek. Sehingga beberapa hari kemudian, polis memerhatikan bentuk bungkusan sate dan potongan lontongnya. 


Dari situ, mereka mula mencari penjual sate yang memiliki bungkusan sate yang sama diambil oleh Bandiman dan akhirnya berjaya menemui penjual sate berkenaan. 


Penjual sate disoal siasat dan mengaku ada seorang wanita misteri membeli satenya dan mendedahkan ciri-ciri suspek kepada polis. 


Berdasarkan maklumat itu, polis telah menahan seorang wanita bernama Nani Apriliani, lapan hari selepas kematian mangsa. Suspek yang bekerja sebagai makeup artis (MUA) dan netizen mula menyiasat akaun media sosialnya. 


SUSPEK MENANGIS, TAK SANGKA BUDAK LAIN JADI MANGSA


Nani mengaku bahawa sate beracun itu sebenarnya dihantar kepada Tomi dan dia tidak menyangka sate itu dimakan oleh anak Bandiman yang jelas sekali bukan sasarannya. 


Jelas Nani, dia berbuat demikian kerana sakit hati lelaki itu berkahwin dengan wanita lain. Disebabkan itu Nani membeli racun tersebut melalui marketplace Facebook. Tetapi tindakannya itu telah menyebabkan kanak-kanak yang tidak bersalah menjadi mangsa. 


Difahamkan, Nani dan Tomi berkenalan di salon tempat kerja suspek. Mereka berdua semakin rapat dan akhirnya jatuh cinta serta menjalinkan hubungan. Spekulasi yang tersebar mengatakan pasangan itu sebenarnya sudah berkahwin tetapi tidak didaftarkan. 


Ketika diminta melakonkan semula aksi kejadian sebenar, Nani menangis teruk, apatah lagi lakonan itu terpaksa dilakukan di hadapan ahli keluarga mangsa. 


Bandiman juga tidak dapat menahan emosi apabila berbuat demikian kerana masih terbayang saat-saat akhir anaknya mengelupur termakan sate beracun itu. 


SUAMI ISTERI MAAFKAN NANI


Dalam satu surat yang ditulis oleh Bandiman kepada Nani, dia dan isteri telah memaafkan Nani tetapi undang-undang dan hukuman tetap perlu dijalankan. Surat itu juga ditunjukkan kepada pihak mahkamah. 


"Saya Bandiman dengan ini memaafkan Nani yang telah melakukan ketelanjuran itu walaupun salah sasaran sehingga menyebabkan anak saya meninggal dunia. 


"Namun kami sekeluarga tetap menuntut proses hukuman dijalankan dengan tidak mengurangi atau meringankan hukuman terhadap Nani," katanya. 


Mahkamah memutuskan Nani dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan kerana perbuatannya telah menyebabkan mangsa terbunuh. 


Kes ini berlaku pada Ramadhan tahun 2021, yang wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak melakukan perbuatan yang boleh memudaratkan diri dan orang lain. Selain itu, usahlah mengambil atau menerima makanan daripada orang yang tidak dikenali. 


Sumber: Indo Zone



from The Reporter https://ift.tt/1AfOGCM
via IFTTT