'Anak saya kekejangan, meronta-ronta sampai terberak & terkencing' - Pelajar Tahun 6 meninggal dunia, disyaki mangsa terbaharu strok haba



Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi semalam, disyaki menjadi mangsa terbaharu disebabkan strok haba, lapor Berita Harian.


Bapanya, Syahrol Azmi Mohd Hekak, 42, berkata anak keduanya, Airiel Syahren, disahkan meninggal dunia oleh doktor akibat 'septic shock secondary to meningoencephalitis' di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.


Katanya, anak kedua daripada empat beradik itu terdahulu mengalami simptom demam tidak berpeluh, kekejangan otot, muntah, terkencing, terberak dan meracau, kira-kira jam 10 malam, Ahad lalu.


Pada awalnya, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lelaki Bandar Kluang berkenaan termasuk adik lelakinya berusia sembilan tahun dan ibu mereka mengalami demam biasa dan memakan ubat.


"Saya meminta mereka tidur di ruang tamu kerana bilik itu sejuk. Selepas itu, saya dengar macam bunyi benda jatuh dan kemudian saya dapati anak kekejangan.


"Selepas menelefon talian 999, panggilan disambungkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom dan petugas meminta saya menunggu ambulans sampai.


"Dalam tempoh itu, anak saya tetap meronta-ronta sampai terberak, terkencing. Adiknya pun jadi macam itu tetapi sekejap sahaja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bentong di sini.


Syahrol Azmi berkata, doktor menerangkan anaknya mengalami simptom strok haba sehingga buah pinggang terjejas dan ada radang otak.


Beliau berkata, anak ketiganya, Aidil Syahren, 9, kini stabil dan masih berada di wad.


"Anak saya dikebumikan di Tanah Perbukuran Islam Kampung Bentong," katanya.



from The Reporter https://ift.tt/T72KBhZ
via IFTTT