'Saya memang tak dapat bonus pun daripada penerbit filem Mat Kilau' - Johan As'ari



Tahun lalu, filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan berjaya meraih kutipan lebih RM70 juta. Susulan daripada kejayaan itu juga, penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata pihaknya akan berkongsi rezeki dengan barisan pelakon dan kru yang terlibat melalui pemberian bonus.


Namun menurut pelakon Johan As'ari, dia tidak menerima agihan bonus tersebut malahan dia juga tidak berhubung dengan penerbit filem itu untuk bertanyakan soal bonus.


"Saya memang tak dapat bonus pun daripada penerbit, tapi saya tidak tahu pula dengan pelakon lain. Penerbit tak janji pun nak bagi bonus dan itu hak dia dan saya tidak boleh marah. Saya juga tidak terkilan tak dapat bonus tu," katanya.


Ditanya sama ada Johan berminat untuk bekerjasama dengan syarikat terbabit pada masa akan datang, katanya, pihak penerbit tidak akan mampu dengan harga yang akan diletakkannya nanti.


"Saya bimbang penerbit tak mampu bayar saya kerana bonus filem Mat Kilau pun saya tak dapat," katanya.


Johan yang melakonkan watak Yassin dalam filem itu berkata, dia juga tidak berasa kecewa apabila namanya tidak ada dalam senarai pelakon filem prekuel Mat Kilau.


Johan berkata, dia yakin namanya juga tidak disenaraikan selepas pengarah, Syamsul Yusof serta pelakon, Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairy turut dikeluarkan dari senarai pelakon filem prekuel Mat Kilau.


"Bila Adi beritahu nama dia, Syamsul dan Beto tidak disenaraikan, saya juga yakin nama saya juga tidak ada dalam prekuel filem itu.


"Penerbit memang tidak ada hubungi saya untuk memberitahu perkara itu dan saya juga tidak berhubung dengan pihak mereka untuk bertanyakan senarai pelakonnya.


"Lagipun, pihak produksi sudah pun memulakan penggambaran filem prekuel itu. Kalau penerbit mahu saya berlakon dalam prekuel filem Mat Kilau pasti mereka beritahu lebih awal," katanya.


Katanya, mungkin penerbit filem itu ada visi lain untuk beri peluang pada penggiat seni yang lain pula untuk berkarya.


"Saya pun tidak berani buat jangkaan. Mungkin penerbit mahu buat cerita orang yang lain dan bukannya kisah Mat Kilau," katanya.


Baginya, kejayaan filem Mat Kilau yang lalu adalah hasil usaha keringat Syamsul, lakonan mantap Adi Putra serta langkah berani penerbit itu sendiri yang mengeluarkan bajet sedemikian.


"Berapa ramai produser tempatan yang berani keluarkan bajet yang tinggi untuk menghasilkan filem sedemikian?" katanya.


Terdahulu, Abdul Rahman mengesahkan Syamsul, Adi Putra dan Beto tidak akan terbabit dalam pembikinan prekuel filem pecah panggung itu, Oktober lalu.


Sumber: Harian Metro



from The Reporter https://ift.tt/q69ihvt
via IFTTT